Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuat persiapan sebelum memulakan jualan murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang di Taman Pelangi pada 24 Disember 2022. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat mohon PKPS adakan program jualan murah setiap minggu di Rawang

SHAH ALAM, 21 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang akan memohon sebanyak mungkin slot bagi program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) susulan sambutan baik penduduk di kawasan berkenaan.

Wakil rakyat Chua Wei Kiat berkata pihaknya berharap Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dapat memberi sekurang-kurangnya satu slot setiap minggu.

“Sempena Tahun Baharu Cina, kita mendapat dua slot iaitu pada minggu ini dan minggu sebelumnya. Jadi penduduk terutama daripada golongan berpendapatan rendah memberi maklum balas program ini sangat membantu meringankan beban mereka.

“Susulan itu, pihak kami akan cuba mohon kepada PKPS untuk mendapatkan slot sekurang-kurangnya seminggu sekali di DUN Rawang,” katanya ketika dihubungi.

Menerusi Jelajah Ehsan Rakyat ayam standard dijual RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 setiap pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Program melibatkan 56 DUN itu bermula 6 September tahun lalu dan sepatutnya berakhir 6 Disember, namun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif itu disambung hingga Mac depan susulan sambutan menggalakkan.

 


Pengarang :