PETALING JAYA, 21 JAN: Hampir 50 penduduk Kampung Baru Sungai Way bertuah kerana dapat menyaksikan upacara hidupkan singa (eye dotting) pada Majlis Buka Mata Tarian Singa menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, esok.
Majlis tersebut disempurnakan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei di Koridor Sejarah Kampung Baru Dewan Serbaguna Sungai Way di sini.
Yi Wei berkata beliau berasa bangga kerana terpilih untuk menyempurnakan upacara ‘eye dotting’ di kepala singa baru milik Persatuan Tarian dan Singa Khuan Loke.
“Mengikut budaya Cina, upacara ini adalah untuk memberi kuasa kepada singa untuk membawa perlindungan, tuah, kesihatan dan kemakmuran, sebelum mereka memulakan persembahan esok,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu Yi Wei menggunakan dakwat khas ‘zhu-sah’ berwarna merah yang dititikkan di atas mata singa tersebut.
Beliau menjelaskan kepala singa baru itu ditaja oleh bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dengan kos sebanyak RM18,000, termasuk baju penari dan pemain muzik.
Tarian Singa yang disebut ‘Wu Shi’ dalam bahasa Cina, adalah tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Tionghua yang dipersembahkan sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina.