Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menggaul ‘yee sang’ ketika mencemar duli hadir ke sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri berkenan meriahkan rumah terbuka Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 28 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat ke sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri malam ini.

Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam kira-kira jam 8.30 malam disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Turut serta, EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim, barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim.

Dalam acara itu, Sultan Selangor memukul gendang dan menggaul ‘yee sang’ bersama Tengku Permaisuri sebagai simbolik perasmian.

Baginda kemudian menyaksikan persembahan tarian singa, naga, opera Cina dan pukulan gendang.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan memukul gendang sebagai simbolik perasmian rumah terbuka Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Acara anjuran Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) kali ini diadakan di dua lokasi berasingan iaitu Auditorium MBSA yang melibatkan kira-kira 1,200 tetamu jemputan, manakala Dataran Kemerdekaan Shah Alam untuk orang ramai.

Bertemakan ‘Musim Bunga Kembali ke Khatulistiwa’ itu menampilkan persembahan kebudayaan membabitkan 120 artis termasuk penyanyi bersuara soprano Evelyn Toh.

2,000 pengunjung terawal turut ditawarkan angpau berjumlah RM10,000 yang dimasukkan melalui aplikasi e-dompet Wavpay selain cabutan bertuah barangan elektrik bernilai keseluruhan RM3,000.


Pengarang :