Perahu pusaka menjadi kenderaan utama keluarga Ewan Najib Sukarno, 46, termasuk menghantar anaknya ke sekolah selepas banjir melanda kampungnya, Kampung Parit Warijo, Batu Pahat, Johor pada 30 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perahu pusaka jadi kenderaan keluarga termasuk ke sekolah disebabkan banjir

BATU PAHAT, 30 JAN: Sebuah perahu pusaka menjadi penyelamat kepada kanak-kanak Nur Akifa Naila Ewan Najib di Kampung Parit Warijo, di sini, untuk dia ke sekolah, selepas banjir melanda kampungnya.

Bapa kanak-kanak itu, Ewan Najib Sukarno, 46, berkata perahu itu turut menjadi kenderaan utama keluarga apabila jalan masuk ke kediaman mereka dinaiki air kira-kira satu meter.

Beliau berkata pada mulanya dia memberikan cadangan anak bongsunya itu tidak ke sekolah, namun kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu tetap mahu ke sekolah kerana tidak mahu tertinggal pelajaran.

“Sememangnya, banjir yang dalamnya kira-kira satu meter atau paras paha tidak berbahaya bagi orang dewasa tetapi bagi kanak-kanak ia tetap berisiko.

“Sebab itulah, saya menggunakan ‘perahu pusaka’ peninggalan arwah nenek untuk menghantar anak ke sekolah. Pagi ke sekolah kebangsaan (SK) dan petang ke sekolah agama pula,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Ewan mereka sekeluarga terpaksa mengharungi banjir kira-kira 750 meter menggunakan perahu tersebut untuk ke jalan utama yang tidak dinaiki air kerana dia meletakkan motosikal dan kereta di kawasan itu.

Katanya jarak sekolah agama dan sekolah kebangsaan anaknya itu antara satu hingga 1.5 kilometer dari kediaman mereka.

“Mujur ada perahu peninggalan arwah nenek ini, jadi bolehlah saya gunakannya. Banjir kali ini agak dalam berbanding sebelum ini kerana dulu kami boleh menggunakan motosikal untuk meredah banjir.

“Saya kagum dengan semangat anak saya ini untuk ke sekolah walaupun terpaksa mengharung banjir dengan menggunakan perahu,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Nur Akifa dia tetap mahu ke sekolah kerana tidak mahu tertinggal dalam menimba ilmu, lebih-lebih lagi beberapa hari lagi peperiksaan untuk sekolah agama akan dijalankan.

– BERNAMA


Pengarang :