Orang ramai melihat papan informasi pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam di pusat beli-belah SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB pelawa beri cadangan pembangunan semula kompleks sukan negeri

SHAH ALAM, 30 JAN: Dato’ Menteri Besar sekali lagi mempelawa orang ramai menyertai sesi libat urus bagi projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) termasuk stadium negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan sesi tersebut sedang berlangsung di pusat beli-belah SACC Mall di sini mulai 26 Januari hingga 10 Februari ini.

“Orang awam dijemput melibatkan diri dengan memberi maklum balas serta cadangan di SACC Mall, Shah Alam sehingga 10 Februari ini,” tulisnya di Facebook hari ini.

Amirudin turut berkongsi video bagi memudahkan orang ramai mendapat gambaran sebenar perkembangan projek seluas 76.08 hektar yang melibatkan belanja sebanyak RM787 juta.

Orang ramai melihat model konsep awal pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di pusat beli belah SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Video itu memaparkan pembangunan KSSA berasaskan komuniti, kelestarian dan keusahawanan selain ketersambungan kepada stesen transit aliran ringan (LRT), hab transit bas, laluan pejalan kaki berbumbung serta akses pejalan kaki.

Stadium itu juga dijangka menampung kapasiti 35,000 hingga 45,000 tempat duduk dengan dilengkapi ultrasel curva, papan skor elektronik, ruang legar mesra orang kurang upaya dan ruang korporat.

Gelanggang serba moden itu turut disediakan bilik persalinan, sistem penyejukan tempat duduk selain transformasi ke mod sukan dan acara indoor.

Pada 5 Januari, Amirudin memaklumkan pembangunan semula KSSA yang dilaksana secara perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad akan bermula pada suku pertama tahun ini.

 


Pengarang :