KUALA LANGAT, 1 FEB: Pengunjung pantai sekitar Dewan Undangan Negeri Morib diingatkan agar menjaga kebersihan kawasan sekitar selepas berkelah.
Wakil rakyatnya Hasnul Baharuddin berkata orang ramai seharusnya lebih bertanggungjawab dan tidak meninggalkan sampah di tempat mereka beriadah.
“Kita harus sama-sama tingkatkan kesedaran masing-masing mengenai kepentingan menjaga kebersihan. Morib adalah salah satu kawasan tarikan pengunjung ke Selangor kerana pantai-pantainya jadi sama-samalah kita menjaganya.
“Jangan harap hanya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) saja untuk membersihkan kawasan, tetapi kita juga perlu bersama-sama membantu,” katanya.
Terdahulu beliau menyaksikan pelancaran dua jentera pembersihan pantai moden dan penyerahan tong sampah kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di Pantai Baru Morib semalam.
Dua jentera ‘walk beach comber’ dan ‘glutton electric little picker’ akan digunakan KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk membersihkan Pantai Morib dan Pantai Baru Morib di sini.
“Dengan adanya jentera pembersihan pantai baharu di kawasan pesisir pantai ini kerja pembersihan akan menjadi lebih cepat dan sistematik, namun kerjasama daripada masyarakat juga penting untuk sama-sama menjaga kebersihan,” katanya.
Inisiatif itu adalah projek rintis antara KDEBWM dan MPKL ke arah meningkatkan kecekapan dan produktiviti pembersihan pantai di kawasan berkenaan.