PETALING JAYA, 1 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bekerjasama menaik taraf infrastruktur Taman SS 2/32 di sini.
Wakil rakyatnya Lim Yi Wei berkata pihaknya memperuntuk kira-kira RM48,105 untuk kerja mengecat dan mendirikan pagar sekeliling gelanggang bola tampar di kawasan berkenaan.
“Manakala proses selebihnya dikendalikan MBPJ seperti menurap semula gelanggang bola keranjang, laluan pejalan kaki, mengecat taman permainan dan peralatan senaman serta membaiki kerusi kayu.
“Kerja pembaikan ini dibuat selepas menerima aduan penduduk berhubung lantai gelanggang bola keranjang mengalami keretakan menyebabkan risiko kepada pemain selain keadaan fasiliti agak daif,” katanya kepada SelangorKini.
Yi Wei menjelaskan sebanyak enam projek berjaya dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama MBPJ dan mantan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua untuk menaik taraf kawasan sekitar SS 2 sejak tahun lalu.
“Terima kasih kepada kedua-dua pihak kerana banyak membantu mengindahkan sekitar kawasan Kampung Tunku. Saya berharap penduduk lebih selesa dan dapat beriadah dengan gembira.
“Kami berhasrat untuk meneruskan trend menaik taraf infrastruktur ini supaya penduduk mempunyai persekitaran yang selamat dan selesa,” katanya.