Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir ke Perhimpunan Bulanan JPM di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya 16 Januari 2023. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tumpu pulih negara, pentadbiran PM suntik keyakinan rakyat

SHAH ALAM, 3 MAC: Debaran dan drama lima hari selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada satu gabungan parti politik menikmati majoriti mudah, akhirnya mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

Mengangkat sumpah pada 24 November selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Anwar disokong 148 wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) diketuainya, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Bagi mengurangkan perbelanjaan negara dan memulih keyakinan rakyat, Anwar menampilkan barisan Kabinet lebih kecil dengan melantik 28 menteri termasuk beliau yang memegang portfolio kewangan selain 27 timbalan menteri yang mengangkat sumpah pada 3 dan 10 Disember.

Pada era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari Februari 2020 hingga November lalu, mereka melantik 32 menteri dan 38 timbalan menteri – langkah dikritik hebat ketika negara perlu berbelanja untuk keperluan lebih penting dalam mengurangkan dampak Covid-19.

Anwar juga menolak gaji selain membatalkan pembelian kereta Mercedes S600 yang dibeli untuk kegunaan rasmi. Semua menteri setuju gaji mereka dipotong sehingga 20 peratus.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan sebagai perdana menteri ke-10 di Istana Negara pada 24 November 2022. Foto BERNAMA

Buat pertama kali juga, seorang timbalan perdana menteri dilantik dari blok Sabah dan Sarawak, selaras janji HARAPAN selain pengiktirafan Anwar buat dua rakan kongsi dalam Malaysia itu.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik ke jawatan itu selain diberi portfolio perladangan dan komoditi. Seorang lagi Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan portfolio kemajuan desa dan wilayah.

Anwar juga menampilkan Penasihat Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican untuk mengetuai badan penasihat bagi membantunya sebagai menteri kewangan. Badan berkhidmat tanpa bayaran itu turut dianggotai empat profesional dan pakar ekonomi.

Bagi memastikan wujudnya kestabilan politik, perjanjian persefahaman (MoU) antara gabungan membentuk Kerajaan Perpaduan ditandatangani pada 16 Disember, tiga hari sebelum sidang pertama Parlimen penggal ke-15.

Sokongan padu

Walaupun tiada usul daripada pembangkang mengesahkan sokongannya di Parlimen, namun Anwar berdepan usul dikemukakan kerajaan yang mendapat sokongan dua pertiga wakil rakyat.

Asas usul berpunca cabaran Muhyiddin yang mahu perdana menteri mengesahkan sokongannya, meski pun pengerusi Perikatan Nasional (PN) ketika di puncak kuasa enggan melayan tuntutan sama.

Sebagai perdana menteri, Anwar tidak pernah mengamalkan pilih kasih. Ketika bah melanda Kelantan dan Terengganu pada penghujung Disember, beliau mengumumkan dana RM100 juta untuk meringankan beban mangsa serta mempercepat projek tebatan banjir.

Komitmen Anwar menghargai Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Malaysia yang diperjuangkannya sejak dalam pembangkang diteruskan. Di bawah pentadbirannya, sebahagian besar tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan.

Anwar turut membuka pintu kediaman rasmi di Seri Perdana, Putrajaya untuk program agama. Tujuannya menyemai sikap kasih bagi meredakan suhu politik yang memuncak susulan isu perkauman dimainkan segelintir pihak pada PRU15.

Ketika pentadbiran Putrajaya berjalan lancar, Sabah sekali lagi dilanda krisis politik. Namun diselesaikan Anwar dalam tempoh tiga hari selepas Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan menarik diri menyokong Datuk Seri Hajiji Noor daripada GRS sebagai ketua menteri pada 6 Januari.

Lanjutan persefahaman antara gabungan parti memerintah, ditubuhkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan. Sebagai ketua kerajaan, Anwar mempengerusikan mesyuarat pada 7 Februari yang kebetulan diadakan di Ibu Pejabat Umno, parti ditinggalkannya 25 tahun lalu.

Pelbagai inisiatif diperkenal turut mengubah keyakinan masyarakat. Tinjauan firma penyelidik Merdeka Center (rujuk gambar rajah) mendapati 68 peratus daripada 1,209 responden menyokongnya.

Kaji selidik dijalankan 26 Disember 2022 hingga 15 Januari lalu turut menunjukkan 54 peratus responden berpuas hati terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan.

 


Pengarang :