Hari Kraf Kebangsaan 2023 bertema ‘Ini Kraf Malaysia’ berlangsung dari 1 hingga 13 Mac di Kompleks Kraf. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Hari Kraf Kebangsaan wadah angkat industri kraf tangan – PM

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Hari Kraf Kebangsaan 2023 menjadi antara wadah dalam usaha mengangkat industri kraf tangan negara dengan menghimpunkan usahawan dan komuniti kraf dari seluruh pelusuk tanah air.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penganjuran Hari Kraf Kebangsaan lebih dua dasawarsa sejak 2003 berjaya merekodkan janaan nilai jualan keseluruhan melebihi RM260.6 juta.

“Saya yakin hasil ini akan terus meningkat saban tahun dengan usaha serta komitmen tinggi daripada semua pihak.

“Karya kraf juga tidak hanya berperanan merancakkan pertumbuhan ekonomi tetapi ia turut menjadi wahana pengikat keharmonian antara kaum di negara kita,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata penglibatan pelbagai kaum dalam penghasilan produk kraf mampu mewujudkan perpaduan melalui penciptaan karya yang menonjolkan identiti setiap etnik masyarakat Malaysia.

“Tahniah saya ucapkan kepada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) atas penganjuran Hari Kraf Kebangsaan kali ini. Keunikan seni kraf perlu dipelihara, dipulihara dan dilindungi sebagai usaha dan upaya kita mewariskan seni budaya untuk generasi akan datang,” katanya.

Hari Kraf Kebangsaan 2023 bertema ‘Ini Kraf Malaysia’ yang berlangsung dari 1 hingga 13 Mac di Kompleks Kraf menyasarkan nilai jualan RM16 juta dengan kehadiran 185,000 pengunjung.

– BERNAMA


Pengarang :