Tan Sri Michelle Yeoh menunjukkan trofi Pelakon Wanita Terbaik yang dimenanginya bagi filem “Everything Everywhere All at Once” pada Anugerah Golden Globe ke-80 di Beverly Hills, California pada 11 Januri 2023. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Michelle Yeoh menang Oscar, filem Everything Everywhere All at Once raih enam lagi anugerah

SHAH ALAM, 13 MAC: Bintang Hollywood kelahiran Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh memenangi anugerah Oscar ke-95 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Bermula di Hong Kong, bekas ratu cantik itu dinobat pelakon wanita terbaik melalui filem Everything Everywhere All at Once, yang turut memenangi enam lagi kategori.

Michelle muncul sebagai pelakon pertama dari Asia memenangi anugerah berprestij itu. Sejak awal tahun ini, beliau diangkat sebagai pelakon wanita terbaik bagi anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild.

Selain dianugerah filem terbaik, Everything Everywhere All at Once turut memenangi kategori pengarah terbaik, pelakon pembantu wanita dan lelaki terbaik, lakon layar asal terbaik, dan suntingan terbaik.

Michelle yang memegang watak sebagai pemilik kedai dobi Evelyn, menewaskan tiga pencabar bagi kategori pelakon wanita terbaik – Cate Blanchet (Tár), Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle William (The Fabelmans).

Sejak mula membintangi filem Hong Kong pada 1990-an, pelakon asal Ipoh itu telah menempuh perjalanan berliku sebelum bergelar bintang antarabangsa.

Lakonan awalnya dalam filem Inggeris termasuk filem Bond Tomorrow Never Dies (1997) menerima pujian antarabangsa dan lakonannya dalam Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) membawa beliau kepada pencalonan British Academy Film Awards (BAFTA).


Pengarang :