EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (tengah) ditemani Pengarah Academi Carsome Teoh Jiun Ee (kanan) melawat bengkel kereta Carsome sebelum pelancaran biasiswa TVET Selangor bersama Carsome Academy di Carsome Certified Lab Pada 13 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Akademi Carsome sambut baik biasiswa negeri, pelawa belia ambil peluang

KLANG, 14 MAC: Akademi Carsome menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri memberi biasiswa kursus teknikal dan latihan vokasional (TVET) kepada pelajar yang mengikuti pengajian di institusi berkenaan.

Pengasas Bersama dan Pengarah Academi Carsome Teoh Jiun Ee berkata ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri memberi kepercayaan kepada pihaknya dalam menyampaikan latihan TVET.

Pengasas Bersama dan Pengarah Academi Carsome Teoh Jiun Ee. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Terima kasih dengan pemberian biasiswa sehingga RM250,000 ini untuk membolehkan belia yang layak, lahir dan menetap di Selangor menerima insentif berkenaan.

“Justeru, kami mengalu-alukan anak Selangor yang mahu melanjutkan pengajian di akademi ini segera memohon menerusi laman sesawang Akademi Carsome carsomeacademy.my/scholarship_2023/.

“Selain berusia 18 hingga 40 tahun, pemohon sepatutnya sudah diterima atau sedang dalam proses membuat permohonan untuk mengikuti kursus sepenuh masa Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 di Akademi Carsome,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran biasiswa TVET Selangor untuk pelajar Akademi Carsome di Carsome Certified Lab, Bandar Bukit Raja di sini semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh EXCO Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han melawat bengkel kereta Carsome sebelum pelancaran biasiswa TVET Selangor bersama Carsome Academy di Carsome Certified Lab, Bandar Bukit Raja pada 13 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada masa sama, Jiun Ee berkata Akademi Carsome bakal memperkenalkan kaedah pembelajaran secara realiti maya (VR) dengan penggunaan teknologi terkini.

Beliau berkata pengenalan sistem baharu itu seiring dengan kadar penggunaan kenderaan elektrik yang semakin bertambah dan susulan itu industri automotif memerlukan juruteknik yang bersedia dalam bidang berkenaan.

“Oleh itu, bagi mengukuhkan ekosistem, Akademi Carsome komited membangunkan generasi juruteknik automotif yang berkemahiran tinggi untuk memacu industri ini ke hadapan.

“VR berpotensi mengubah cara belajar dan mengajar, dengan menawarkan pengalaman interaktif yang meningkatkan penglibatan, motivasi serta pemahaman pelajar mengenai konsep yang kompleks,” katanya.

Pelajar Akademi Carsome akan didedahkan dengan tiga bulan kelas teori meliputi kuliah, sesi amali modul VR dan pemeriksaan kenderaan sebenar manakala sembilan bulan sesi praktikal.


Pengarang :