EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (kanan) dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor pada Program Smart Raya Selangor 2023 di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 16 Mac 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1,000 pengguna, 500 peniaga bazar Ramadan disasar guna e-dompet

SHAH ALAM, 16 MAC: Seramai 1,000 pengguna dan 500 peniaga baharu disasar beralih kepada urus niaga e-dompet menerusi Jelajah Bazar Ramadan Tanpa Tunai di lima lokasi tahun ini.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata sasaran membabitkan peniaga dan pengunjung di Bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya; Stadium Shah Alam, Shah Alam; Simpang Empat, Sungai Udang, Klang; Selayang Utama, Gombak serta Seksyen 18, Shah Alam.

“Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) serta Wavpay akan berkunjung ke lokasi berkenaan secara serentak bagi menggalakkan penggunaan e-dompet dalam kalangan peniaga dan pengunjung.

“Kerajaan Negeri percaya pendigitalan dapat membawa perubahan positif dan signifikan dalam meningkatkan kualiti hidup serta kemakmuran rakyat Selangor,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian semasa pengumuman inisiatif Smart Raya Selangor 2023 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Chang Khim menambah pengunjung bazar berbelanja menggunakan e-dompet Wavpay berpeluang menyertai kempen Belanja dan Menang yang menyediakan hadiah keseluruhan RM50,000 seperti motosikal, komputer riba, telefon pintar, ipad dan televisyen.

“Tempoh kempen sepanjang Ramadan dengan satu cabutan bagi setiap RM10 yang dibelanjakan. Cabutan dibuat setiap hujung minggu manakala hadiah utama pada minggu terakhir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata peniaga yang mencatat transaksi tertinggi melalui Wavpay dari setiap bazar pula berpeluang memperoleh ganjaran wang tunai RM2,000.

“Mereka perlu mendaftar sebagai peniaga Wavpay untuk menerima pembayaran QR dengan proses kelulusan dalam tempoh tiga hari bekerja,” katanya.


Pengarang :