EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Yawas kaji bangun aplikasi khas permudah mohon bantuan warga emas, OKU

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Negeri melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dalam proses kajian membangunkan aplikasi khas bagi permohonan Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) dan Jom Shopping Perayaan.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata kajian pembangunan aplikasi itu mengambil kira faktor ketercapaian, keselesaan, kos dan peruntukan negeri.

“Memandangan tahun ini baru dimulakan dengan sistem terbuka untuk program SMUE atau SMIS, maka penggunaan aplikasi mengambil kira faktor tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Semalam, wakil rakyat Permatang mencadangkan Kerajaan Negeri membangunkan aplikasi khas untuk membantu mempercepatkan permohonan SMUE dan SMIS.

Rozana Zainal Abidin berkata kelewatan kelulusan bantuan itu boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat selain tanggapan tidak baik terhadap dasar Kerajaan Negeri.

Iltizam Selangor Penyayang diperkenalkan Kerajaan Negeri menyenaraikan 46 inisiatif termasuk SMUE iaitu program bantuan untuk warga emas dan SMIS kepada orang kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, Ganabatirau berkata purata proses dan kelulusan permohonan pendaftaran ahli baharu bagi SMUE mengambil masa selama sebulan.

Menurutnya, jumlah permohonan skim terbabit meningkat lebih 300 peratus sebulan bermula Januari lalu berikutan kadar bantuan bertambah kepada RM150 berbanding RM100 tahun terdahulu.

“Kita menerima 2,528 permohonan pada November tahun lepas diikuti 4,369 (Disember), 13,074 (Januari) dan 11,775 (Februari),” katanya.


Pengarang :