Murid Sekolah Kebangsaan Meru Klang memulakan sesi pembelajaran pada hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga bagi negeri Kumpulan B ketika tinjauan pada 10 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada kelas akademik minggu pertama persekolahan ambil kira impak

SHAH ALAM, 18 MAC: Pekeliling baharu Kementerian Pendidikan untuk tidak mengadakan kelas akademik pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024 dikeluarkan setelah penelitian yang lama, agar langkah itu memberi impak kepada pihak terlibat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata bukan mudah untuk kementeriannya membatalkan pekeliling asal berusia 34 tahun yang dilaksanakan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Pelajaran.

“Susah nak batalkan pekeliling daripada bos sendiri. Kita ambil masa lama untuk melihat dan memastikan bahawa pekeliling (baharu) ini benar-benar boleh memberikan impak kepada anak-anak kita yang akan kita terjemahkan kepada murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara, negara sejahtera,” katanya.

Ketua Wanita PKR itu berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Malawati di sini hari ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (kanan) bersama timbalannya Lim Hui Ying ketika sidang media khas di Kementerian Pendidikan pada 15 Disember 2022. Foto BERNAMA

Terdahulu, pembahas Kedah Habib Ahmad Muhaiyuddin dalam sesi perbahasannya memuji dan menyambut baik pekeliling baharu Kementerian Pendidikan itu.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dalam sidang media sempena amanat pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 berkata tiada kelas akademik diadakan pada minggu pertama sesi persekolahan tersebut, bermula 19 Mac dan 20 Mac ini, sebaliknya ia diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek.

Beliau berkata fokus hari pertama persekolahan sebelum ini adalah kepada akademik tetapi langkah yang diambil pada sesi kali ini adalah melaksanakan pendidikan didik hibur dan pembelajaran berasaskan projek mudah.

Sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac bagi negeri Kumpulan A iaitu Johor, Terengganu, Kelantan dan Kedah, manakala negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan) bermula esoknya.

– BERNAMA


Pengarang :