Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim menyampaikan ucapan perasmian Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPAJ 2022 di Kuala Lumpur pada 17 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Lepasi sasaran, MPAJ kutip cukai taksiran RM32.5 juta

OLEH AZIAN AZIZ

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berjaya mencatat kutipan cukai taksiran sebanyak RM32.5 juta pada suku tahun pertama tahun ini.

Yang Dipertuanya berkata ia melebihi 24.28 peratus berbanding sasaran iaitu RM21.25 juta atau 50 peratus daripada RM43.5 juta.

“Alhamdulillah rekod menunjukkan jumlah dikumpulkan meningkat kepada 74.28 peratus.

“Kutipan tunggakan cukai taksiran bagi suku tahun pertama juga melepasi sasaran apabila MPAJ berjaya mengutip sebanyak RM3.9 juta atau 22.87 peratus berbanding 15 peratus daripada RM17 juta,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Cemerlang MPAJ 2022 di Hotel Berjaya Times Square di sini semalam.

Mohd Fauzi memberitahu kejayaan itu adalah hasil gerak kerja taskforce yang berperanan besar mengutip hasil cukai taksiran dan bukan cukai seperti kompaun, permit dan sebagainya.

Malah, katanya, program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran diteruskan pada tahun ini bertujuan menghargai pembayar cukai selain menubuhkan Skuad Khas Hasil dianggotai kakitangan sendiri untuk membantu kutipan tunggakan cukai taksiran serta memperhebat Kaunter Bergerak MPAJ.

“Selain itu kita juga melaksanakan dasar penjimatan 30 peratus daripada Belanjawan 2023 MPAJ bertujuan mengukuhkan lagi perkhidmatan kepada penduduk. Langkah tersebut menjadi fokus kita tahun ini.

“Fokus yang lain ialah untuk terus menyokong program Kerajaan Negeri dan bantuan kepada golongan asnaf, memperkasakan bidang pendigitalan serta memperkasakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs),” tambahnya.


Pengarang :