Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Datin Paduka Norazlina Zakaria (tengah) menyertai kakitangan agensi itu menyediakan bubur lambuk di Mercu Worldwide, Seksyen 13 di sini pada 23 Mac 2023. Foto Worldwide Holdings
AGENDANASIONAL

Worldwide Holdings agih bubur lambuk, anjur pelbagai aktiviti semarak Ramadan

SHAH ALAM, 23 MAC: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) kembali menganjurkan program agihan bubur lambuk sempena Ramadan ini selepas terhenti sejak 2020 berikutan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata juadah yang disediakan kakitangan agensi itu secara gotong-royong merupakan acara tradisi sejak dilaksanakan pada 2006.

“Saya harapkan melalui penganjuran kembali program ini, kita dapat mengeratkan silaturahim antara kakitangan Worldwide Holdings dengan rakan-rakan usahasama strategik syarikat seperti Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dan Media Selangor

“Program ini juga merupakan peluang untuk Worldwide Holdings membuat amal kebajikan ketika Ramadan dengan mengedarkan bubur lambuk kepada golongan asnaf melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Datin Paduka Norazlina Zakaria bergambar bersama sebahagian kakitangan agensi itu yang bergotong-royong menyediakan bubur lambuk di Mercu Worldwide, Seksyen 13 di sini pada 23 Mac 2023. Foto Worldwide Holdings

Terdahulu, program gotong-royong menyediakan bubur lambuk yang berlangsung di perkarangan Mercu Worldwide, Seksyen 13 di sini diserikan dengan kehadiran Mufti Selangor Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir yang turut menyampaikan tazkirah.

Juadah berkenaan diagihkan kepada kakitangan Worldwide Holdings dan wakil-wakil dari Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), YRMS dan Media Selangor.

Norazlina berkata Worldwide Holdings turut meneruskan program Bicara Ilmu sepanjang Ramadan yang merupakan sesi tazkirah untuk kakitangan yang disampaikan oleh penceramah terkenal tanah air selain mempergiatkan lagi program tanggungjawab sosial korporat.


Pengarang :