Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mustamaman membayar zakat perniagaan RM10,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 23 Mac 2023. Foto Facebook MAIK
AGENDANASIONAL

Remaja 14 tahun bayar zakat perniagaan RM10,000, bantu golongan susah

KOTA BHARU: Pelajar Tingkatan Dua menjadi individu paling muda membayar zakat perniagaan berjumlah RM10,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mustamaman yang juga pengasas produk pemakanan hadir ke pejabat MAIK Khamis lalu.

Pembayaran zakat itu diserahkan kepada Ketua Pegawai Zakat MAIK, Ameer Azeezy Tuan Abdullah.

Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya berkata, dia tampil menunaikan tanggungjawab itu selepas produk yang diusahakannya mencapai jualan RM400,000 dalam tempoh empat bulan dijual bermula September tahun lalu, lapor Berita Harian.

Difahamkan dia mengambil alih perniagaan itu sejak Januari.

“Saya mula berniaga menerusi aplikasi TikTok dan agak terkejut apabila mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan. Susulan itu saya mula mengambil ejen untuk meluaskan lagi penjualan produk saya.

“Susulan sambutan yang menggalakkan, ibu, Bibi Hasnalinda Zainal Abidin, 46, dan ayah, Mustaman Che Yusof, 60, menasihati saya mengeluarkan zakat perniagaan kepada MAIK,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya dia lega dapat menjadi salah seorang pembayar zakat dan berharap sumbangan itu dapat membantu golongan memerlukan.

“Ini juga ajaran nenek sebab nenek selalu berpesan apa-apa mesti dahulukan zakat. Saya juga berharap perniagaan ini semakin maju,” katanya.

Bibi Hasnalinda turut menyifatkan rasa terharu dengan usaha yang ditunjukkan anaknya untuk tampil membayar zakat walaupun usianya masih muda.

Katanya dia berharap tindakan itu menjadi contoh kepada usahawan dan ahli perniagaan lain untuk sama-sama membayar zakat.

“Saya sentiasa berpesan kepada anak apa yang kita lakukan jangan kita lupakan Allah,” katanya.

Sementara itu, Ameer Azeezy, berkata pihak MAIK bertuah kerana mendapat pembayar zakat termuda iaitu baru berusia 14 tahun.

“Dalam beliau bersekolah dan belajar, namun masih sempat mencari rezeki dengan cara betul dan tidak lupakan Allah,” katanya.


Pengarang :