Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid menyampaikan cenderahati kepada EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han pada Bengkel Pelan Tindakan Bandar Pintar Shah Alam 2023-2030 di Pusat Konvensyen MBSA pada 29 Mac 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO puji usaha MBSA rancang strategi mampan ke arah bandar pintar

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan Negeri memuji usaha Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan bengkel khas bagi membincangkan strategi dan garis panduan untuk mencapai status bandar pintar.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata penyediaan pelan tindakan bagi tempoh 2023 hingga 2023 itu selaras hasrat Kerajaan Selangor dalam menuju Negeri Pintar menjelang 2025.

“Saya menyambut baik inisiatif bandar pintar yang dilaksanakan MBSA terutama penganjuran bengkel hari ini yang turut bekerjasama dengan agensi luar bagi bertukar pandangan.

“Perkongsian ini penting kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh bergerak sendiri, sebaliknya memerlukan kerjasama bagi memastikan matlamat bandar pintar tercapai,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Bengkel Pelan Tindakan Bandar Pintar Shah Alam 2023-2030 di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sze Han memaklumkan semua PBT di Selangor juga sedang berusaha untuk mencapai status bandar pintar mengikut garis panduan masing-masing bagi manfaat pelbagai pihak.

“Pelbagai manfaat diperoleh termasuk potensi keuntungan kewangan dan pengurangan kos operasi boleh dikecapi oleh rakyat terutama dalam komuniti perniagaan dan kerajaan,” katanya lagi.

Bengkel selama dua hari bermula hari ini disertai 150 peserta dalam kalangan kakitangan MBSA, Smart Selangor Delivery Unit, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Koridor Utiliti Selangor.


Pengarang :