Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir menyerahkan sumbangan bakul Moreh@PJ Love You kepada Biro Pembangunan Masjid As-Salam Hamzah Arif ketika lawatan ke Bazar Ramadan Jalan PJS 1/30, Petaling Jaya pada 29 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Program ‘Moreh@PJ Love You’ elak bazir juadah tak habis jual di bazar Ramadan

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 30 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan program ‘Moreh@PJ Love You’ semalam bagi menangani lambakan makanan yang tidak habis dijual di bazar Ramadan.

Datuk Bandarnya Mohamad Azhan Md Amir berkata inisitiaf bawah tema bandar inklusif Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan 2030 dilaksana dengan kerjasama peniaga bazar dan pihak masjid.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir bercakap dalam sidang media selepas melancarkan program ‘Moreh@PJ Love You’ ketika melawat Bazar Ramadan Jalan PJS 1/30, Petaling Jaya pada 29 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kita mendapatkan bekalan makanan daripada usahawan bazar Ramadan dengan mohon sedikit peruntukan daripada jualan mereka untuk diagihkan kepada lima masjid yang terbabit dalam program ini.

“Untuk peringkat permulaan hari ini (semalam) kita kumpul makanan dan serahkan bakul moreh kepada Masjid As-Salam, Taman Sri Manja sebelum diteruskan ke masjid-masjid lain sepanjang Ramadan,” katanya.

Terdahulu beliau membuat lawatan bazar Ramadan serentak melancarkan program ‘Moreh@PJ Love You’ di Jalan PJS 1/30 di sini, semalam.

Selain mengelak pembaziran makanan, Mohamad Azhan berkata program itu juga tanda kasih sayang menerusi perkongsian dengan semua penduduk yang memerlukan di Petaling Jaya.

Biro Pembangunan Masjid As-Salam Hamzah Arif. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sementara itu Biro Pembangunan Masjid As-Salam Hamzah Arif yang mewakili masjid terbabit menerima bakul moreh memuji usaha yang dilaksanakan MBPJ.

“Ribuan terima kasih kepada MBPJ kerana ini julung kali PBT laksanakan pemberian juadah moreh kepada masjid dan surau. Usaha ini wajar diteruskan pada masa depan kerana ia dapat eratkan hubungan antara PBT, masjid dan penduduk.

“Insya-Allah tiada lambakan makanan di masjid biarpun ramai yang sedekahkan makanan kerana bilangan jemaah yang ramai untuk tunaikan solat Terawih berjemaah,” katanya.

Berikut merupakan lima masjid dan surau terlibat dalam Program ‘Moreh@PJ Love You’ MBPJ :

  • Masjid As-Salam, Taman Sri Manja
  • Masjid Jumhuriah, Taman Medan
  • Masjid Muttadi, Damansara Damai
  • Surau Ar-Rasyidin, Taman Sri Manja
  • Surau Al-Islah, Taman Sri Manja

Pengarang :