AGENDANASIONAL

Yayasan Selangor jelaskan harga tanah lebih rendah kerana sebahagian diambil projek LRT3

SHAH ALAM, 30 MAC: Yayasan Selangor menegaskan pengambilan sebahagian tanah miliknya di Bukit Tinggi, Klang bagi projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menyebabkan harga baki tanah lebih rendah.

“Pengambilan sebahagian tanah tersebut oleh Kerajaan Pusat bagi tujuan projek laluan LRT3 telah memberi kesan kepada keluasan tanah menyebabkan pengurangan ke atas harga jualan berdasarkan keluasan tanah terkini,” katanya.

Menjawab tohmahan di media sosial, yayasan itu berkata ia “langsung tidak berasas, berbaur fitnah dan mengelirukan.”

Jelasnya, keputusan yang dibuat Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor dan pihaknya adalah mengikut tatacara operasi piawai.

“Penjualan tanah milik Yayasan Selangor di Bukit Tinggi, Klang yang diluluskan oleh Ahli Lembaga Amanah Yayasan Selangor adalah berdasarkan pengiraan pulangan di atas pelaburan, kedudukan kewangan serta risiko-risiko berkaitan dengan projek usahasama antara Yayasan Selangor dan tetuan Fairmore Realty Sdn Bhd (FRSB),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan sama turut memaklumkan, Pemegang Amanah Yayasan Selangor juga telah meluluskan pengurusan untuk membuat pembiayaan pemfaktoran daripada pihak institusi kewangan bagi menampung keperluan operasi tahun 2020.

Susulan tohmahan tersebut, Yayasan Selangor membuat laporan polis dan menuntut pengguna Facebook tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka dan menurunkan hantaran tersebut.


Pengarang :