Peserta program Jom Shopping Skim Mesra Warga Emas DUN Selat Klang memilih barangan keperluan harian di Econmart Sungai Bertih, Jalan Yadi pada 30 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

37,250 keluarga kurang mampu terima baucar beli-belah Aidilfitri RM200

SHAH ALAM, 30 MAC: Seramai 37,250 keluarga berpendapatan rendah di negeri ini bakal menerima baucar beli-belah berjumlah RM200 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata agihan baucar menerusi Jom Shopping Perayaan akan dibuat dalam masa terdekat bagi membolehkan penerima membuat persiapan raya.

Beliau menjelaskan sebanyak RM7.450 juta dibelanjakan bagi tujuan tersebut, bertambah sedikit berbanding sebelum ini berikutan kadar baucar dinaikkan RM100.

“Ini merupakan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terutama dalam membantu golongan sasar. Kita mahu semua rakyat gembira meraikan hari raya tanpa ada rasa beban,” katanya ketika dihubungi.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berucap ketika program sambutan perayaan Ponggal peringkat Negeri Selangor 2023 di Kuil Sri Swarna Maha Mariaman Alayam, Shah Alam pada 11 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Ganabatirau memaklumkan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) memilih pasar raya tertentu untuk memudahkan penerima menebus baucar tersebut.

“Ahli Dewan Negeri akan maklumkan pasar raya berkenaan. Kita akan pastikan baucar selesai diagih menjelang Aidilfitri,” katanya lagi.

Jom Shopping Perayaan merupakan bantuan bersempena tiga perayaan utama bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan.

Tahun ini, kadar inisiatif dinaikkan kepada RM200 setiap keluarga selain had pendapatan bulanan isi rumah ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi pemberian baucar tersebut, yang akan memanfaatkan 82,400 penerima di seluruh negeri.


Pengarang :