SHAH ALAM, 30 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DY) Sultan Selangor hari ini berkenan menerima zakat perniagaan daripada empat syarikat korporat berjumlah RM7,077,692.24.
Serahan zakat kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dibuat sempena majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Istiqamah, Kayangan Heights di sini.
Central Sugar Refinery Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamad Zuki Wan Abdullah mendahului senarai syarikat menyerahkan zakat berjumlah RM3 juta.
Pintas Utama Sdn Bhd diwakili Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Ir Zainudin Karjan menunaikan zakat RM1.5 juta, manakala Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM1.49 juta yang diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Muazzam Mohamed.
Sementara itu, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menunaikan zakat perniagaan RM1,087,692.24 yang diserahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.
Keberangkatan Sultan Sharafuddin turut diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr Anhar Opir.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbin.