Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama anak yatim pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Rumah Anak Yatim Hidayah Al Hijrah, Hulu Langat pada 1 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tengku Amir Shah santuni anak yatim, serah sumbangan Aidilfitri

HULU LANGAT, 1 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyerahkan sumbangan Aidilfitri Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) kepada anak yatim, hari ini.

Sumbangan membabitkan sejumlah RM3,450 itu diperuntukkan Yide untuk 23 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Hidayah Al Hijrah, di sini yang mana setiap daripada mereka menerima RM150.

Pengerusi Yide Tan Sri Mazlan Mansor berkata sumbangan itu bagi membantu anak berkenaan membeli kelengkapan bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menginfakkan beras kepada wakil rumah anak yatim sebelum menyerahkan sumbangan Aidilfitri Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) kepada anak yatim di Rumah Anak Yatim Hidayah Al Hijrah, Hulu Langat pada 1 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Rumah anak yatim ini juga merupakan pencetus tertubuhnya Yide kerana pada tanggal 21 Mei 2011 terjadi tragedi menggemparkan negara iaitu kejadian tanah runtuh di sini sehingga meragut nyawa 16 anak yatim.

“Rentetan peristiwa itu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) menitahkan sebuah yayasan ditubuh bagi menjaga hal ehwal anak yatim di negeri ini.

“Alhamdulillah, sehingga kini Yide mencecah usia 10 tahun dan menjunjung kasih kepada DYTM Raja Muda sentiasa memberi sokongan kepada Yide dan mengukirkan senyuman anak yatim bila mana keberangkatan tiba Tuanku di program yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas penyerahan sumbangan Aidilfitri Yide di Rumah Anak Yatim Hidayah Al Hijrah, di sini hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan meyaksikan sumbangan zakat PTPTN kepada wakil rumah anak yatim di Rumah Anak Yatim Hidayah Al Hijrah, Hulu Langat pada 1 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada majlis tersebut, Tengku Amir Shah turut meluangkan masa mendengar tazkirah Ramadan disampaikan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebelum menunaikan solat Zohor berjemaah.

Pada majlis sama, Raja Muda Selangor turut berkenan menyerahkan sumbangan infak beras 100 kilogram yang diberi kepada rumah anak yatim terbabit.

Selain itu, rumah berkenaan turut menerima sumbangan tunai RM5,000 daripada pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membaiki infrastruktur yang uzur dan keperluan kelengkapan akademik serta bil utiliti.

Sebahagian anak yatim menunjukkan sumbangan Aidilfitri Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) yang disampaikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Rumah Anak Yatim Hidayah Al Hijrah, Hulu Langat pada 1 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :