Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bercakap kepada media ketika Festival Kampung Baharu di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB hargai peruntukan persekutuan, pacu ekonomi kampung baharu Selangor

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Dato’ Menteri Besar menyifatkan peruntukan RM5 juta daripada Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada 77 kampung baharu di Selangor, semalam merupakan bonus buat negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu dapat memacu pertumbuhan ekonomi dengan merangka pelbagai rancangan dan projek selain menambah baik infrastruktur serta mempromosi kampung baharu di negeri ini.

“Semalam menteri KPKT (Nga Kor Ming) turun ke festival ini dan mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada 77 kampung baharu di Selangor, terima kasih kerajaan persekutuan terhadap pemberian yang amat besar nilainya.

“Peruntukan ini akan dikendalikan oleh EXCO Pembangunan Kampung Baharu Yang Berhormat Ng Sze Han, beliau akan melihat kepentingan dan keutamaan yang harus diberikan kepada kampung baharu dengan jumlah yang disediakan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas melawat Festival Kampung Baharu Selangor di Pavilion Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut hadir EXCO Pembangunan Kampung Baharu Ng Sze Han dan Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Festival tiga hari yang bermula semalam itu menyasarkan 10,000 pengunjung hadir memeriahkan program berkenaan.

Festival itu menampilkan pelbagai komponen pameran antaranya jenis perkampungan baharu di Selangor, sejarah kampung, hasil seni kraftangan penduduk kampung, forum dan persembahan bagi masyarakat menghayati pesona kampung baharu Selangor.


Pengarang :