Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Masjid Taman Alam Jaya sempena program berbuka puasa bersama rakyat di Puncak Alam, Kuala Selangor pada 8 April 2023. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor rasmi Masjid Taman Alam Jaya, kos bina lebih RM10 juta

KUALA SELANGOR, 8 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan merasmikan Masjid Taman Alam Jaya, Puncak Alam sempena program berbuka puasa bersama rakyat hari ini.

Bangunan setingkat yang mampu menampung kira-kira 2,000 jemaah dalam satu-satu masa itu menelan belanja sebanyak RM10.396 juta.

Didirikan di atas tanah seluas 2.09 ekar, masjid terbabit siap pada Februari 2020 selepas dua tahun proses pembinaan berjalan.

Dalam majlis sama Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah lebih RM6.177 juta juta daripada empat syarikat termasuk agensi Kerajaan Negeri.

Masjid Taman Alam Jaya dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Puncak Alam, Kuala Selangor pada 8 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bayaran kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sebanyak RM2.626 juta dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor berjumlah RM1.5 juta.

Turut menyempurnakan bayaran zakat bagi penggal 2022 ialah syarikat tekstil terkemuka Jakel Trading Sdn Bhd (RM1.050 juta) dan Lembaga Juruukur Tanah Malaysia (RM1 juta).

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Amir Shah juga mengagihkan sumbangan duit berjumlah RM272,000 kepada 544 penerima terdiri daripada fakir, miskin dan mualaf.


Pengarang :