Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menerima sumbangan untuk pembinaan kompleks asrama anak yatim Yayasan Islam Darul Ehsan di Pulau Indah, Klang dalam satu majlis di Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya pada 15 April 2023. Foto Ihsan Yayasan Islam Darul Ehsan
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kompleks asrama anak yatim Yide di Pulau Indah mula dibina Jun ini

Oleh AZIAN AZIZ

PETALING JAYA, 16 APRIL: Pembinaan kompleks asrama anak yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah, Klang dengan kos RM12 juta akan bermula pada Jun ini.

Pengerusinya Tan Sri Mazlan Mansor berkata sehingga kini kutipan sumbangan untuk pembinaan kompleks tersebut melepasi 70 peratus iaitu kira-kira RM8 juta.

“Jadi kita akan mulakan projek Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah mengikut jadual yang ditetapkan.

“Saya akan menghadap Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor untuk memohon perkenan baginda mencemar duli merasmikan upacara pecah tanah kompleks tersebut, ” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (duduk, tengah) dan Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Tan Sri Mazlan Mansor bergambar bersama anak-anak yatim dalam program sumbangan Aidilfitri Yide di Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya pada 15 April 2023. Foto Ihsan Yayasan Islam Darul Ehsan

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri Yide kepada 585 anak yatim daerah Petaling di Masjid Kota Damansara di sini semalam.

Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyampaikan sumbangan tersebut.

Projek pembinaan atas tanah seluas 3.47 ekar milik Central Spectrum Sdn Bhd itu mampu menempatkan 200 anak yatim dari seluruh Selangor apabila siap sepenuhnya pada 2025.

“Saya berharap setelah projek ini bermula kutipan sumbangan untuk pembinaan kompleks tersebut yang berbaki kira-kira RM4 juta akan terus dipertingkatkan,” katanya lagi.

Yide sebelum ini meraih lebih RM400,000 menerusi Kejohanan Golf Amal yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 14 Januari lalu.

Orang ramai juga boleh berinfaq untuk pembinaan kompleks tersebut melalui pautan yide.com.my/infaq-kompleks-anak-yatim/


Pengarang :