PERSONALITIRENCANA

Amy tenteram dalam zikir, tidak pernah tawar hati terhadap dunia seni

Oleh INTAN SYUHADA AKHIR

Setibanya Ramadan sejak tiga tahun lalu, penyanyi rock Amy membuka reruai jualan pakaian untuk digayakan ketika sambutan Aidilfitri.

Pemilik nama sebenar Datuk Suhaimi Abdul Rahman, 65, itu berniaga di pusat beli-belah The Publika, Kuala Lumpur sejak 2021. Kali ini, beliau berjualan di The Curve Damansara, Petaling Jaya.

Seperti tahun-tahun lalu, Amy berehat daripada mengadakan persembahan untuk tumpu perniagaannya. Koleksi kurta, jubah, songkok dan kebaya antara bahan jualan atas jenama Amy Search General Products.

“Saya ada pekerja yang menguruskan jualan di sana. Sudah tiga tahun saya berniaga di The Publika, tahun ini tukar lokasi pula,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Amy membuka reruai jualan pakaian sempena Aidilfitri di pusat beli-belah The Publika, Kuala Lumpur sejak 2021. Foto Facebook Amy Search

Sebagai artis terkenal sejak 1980-an, beliau juga menggunakan kesempatan untuk beramah mesra dengan peminat ketika berurus niaga.

Amy juga ada tabiat tertentu sejak muda setiap kali Ramadan. Beliau gemar menjamah kuih dan manisan selepas berbuka puasa. Sebelum tidur pula, beliau suka mengunyah manisan.

“Saya kalau bulan puasa ini, memang cari dua kuih iaitu onde-onde dan badak berendam. Itu kesukaan saya,” katanya.

Zikir dan solat

Sesuai dengan Ramadan, Amy turut berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memperbanyak zikir dan solat.

Lebih-lebih lagi kebelakangan ini. Rimas dengan komen-komen di media sosial berkaitan dirinya, pelantun lagu Fantasia Bulan Madu itu cuba mengelak membaca kenyataan sedemikian.

“Saya lawan fikiran negatif dengan bertemu orang tabligh, solat dan zikir. Saya jarakkan diri di media sosial kerana ada unsur negatif mengganggu kesejahteraan minda saya,” katanya.

Sedikit sebanyak amal ibadat menghilangkan rasa sedihnya yang menjadi sasaran buli siber. Beliau juga sering menangis sendirian. Tidurnya terganggu, sering terjaga pada awal pagi.

Amy (tengah) mengahdiri majlis Israk Mikraj di Faidur Rahmah Dato’ Abul Hasan di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada 19 Februari 2023. Foto Facebook Amy Search

Amy berasa seolah-olah berada pada fasa terendah hidupnya sepanjang empat dekad dalam dunia seni. Paling teruk, semasa Perintah Kawalan Pergerakan dua tahun lalu.

“Saya berasa perjuangan selama ini tidak dihargai. Macam karya seni saya dipandang sebelah mata. Mungkin mereka tidak faham apa yang berlaku. Jadi, mudah untuk kata apa sahaja,” katanya.

Pun begitu, anak kelahiran Johor itu tidak pernah tawar hati atau mahu memadamkan cintanya kepada dunia nyanyian. Tahun ini, beliau bersama ahli kumpulan Search merancang konsert.

Selain itu, satu lagu baharu bertajuk Endemik siap dirakam. Namun, tarikh pelancaran lagu berkenaan belum ditetapkan kerana perlu melalui proses penggambaran video muzik terlebih dahulu.


Pengarang :