Sebahagian peserta berbilang kaum yang mengikuti program Kacau Dodol Vaganza di Perkarangan Pasaraya CLC Semenyih, Hulu Langat pada 15 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

300 individu pelbagai kaum sertai Kacau Dodol Vaganza Semenyih 5.0

HULU LANGAT, 16 APRIL: Kira-kira 300 peserta dan sukarelawan mengambil bahagian dalam program Kacau Dodol Vaganza Semenyih 5.0 di sini hari ini.

Pegawai Program Pembangunan Komuniti Team Selangor Ridzwan Mohamed berkata walaupun dodol terkenal sebagai juadah tradisi masyarakat Melayu program yang masuk kali kelima penganjurannya tahun ini turut disertai kaum Cina dan India.

Pegawai Program Pembangunan Komuniti Team Selangor Ridzwan Mohamed pada program Kacau Dodol Vaganza Semenyih 5.0 di Perkarangan Pasaraya CLC Semenyih, Hulu Langat pada 15 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Program kali ini melibatkan 20 kawah dodol dengan kira-kira 300 peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan kaum.

“Kebanyakan peserta adalah daripada komuniti Semenyih dan masyarakat sekitar. Malah ada juga yang datang dari Bangi, Kajang dan Ampang.

“Dianggarkan kira-kira 2,000 bekas dodol berjaya dihasilkan dan ia akan diagihkan kepada peserta dan sukarelawan serta penduduk sekitar,” katanya.

Terdahulu beliau menghadiri program kacau dodol vaganza Semenyih 5.0 yang disempurnakan EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah di sini, malam tadi.

B Anjoli pada program Kacau Dodol Vaganza Semenyih 5.0 di Perkarangan Pasaraya CLC Semenyih, Hulu Langat pada 15 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sementara itu peserta, B Anjali, 44 berkata program berkenaan memberi peluang kepadanya mengetahui cara-cara membuat dodol dengan betul.

“Saya menjalankan perniagaan katering, jadi memang biasa masak juadah melayu, tetapi kacau dodol belum pernah.

“Program seperti ini bagus untuk kita ketahui budaya masyarakat lain dengan lebih mendalam,” katanya.

Alex Wong Yuh Leong pada program Kacau Dodol Vaganza Semenyih 5.0 di Perkarangan Pasaraya CLC Semenyih, Hulu Langat pada 15 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Alex Wong Yuh Leong, 42, berkata program berkenaan wajar dijadikan acara tahunan kerana ia memberi peluang kepada masyarakat berbilang kaum mengenali budaya yang pelbagai.

“Saya tahu dodol, tapi bila tidak pernah tahu ambil masa sangat lama untuk sediakannya. Apabila sertai program ini baru tahu susah juga untuk sediakannya,” katanya.


Pengarang :