Orang ramai membeli barangan keperluan pada program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Dataran Niaga Siantan, Batu Caves pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah PKPS mungkin disambung sehingga Julai atau Ogos

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 17 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kemungkinan menyambung Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sehingga Julai atau Ogos.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata beliau percaya Kerajaan Negeri terutama Dato’ Menteri Besar tidak akan menghentikan program itu begitu sahaja.

“Bila tengok rakyat gembira, Dato’ Seri Amirudin Shari tidak akan menghentikan JER sekelip mata.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi 

“Saya percaya beliau akan minta supaya JER dilanjut sekurang-kurangnya sehingga Julai atau Ogos ini kerana saya rasa waktu itu adalah tempoh yang sesuai untuk menghentikan JER sebab masa itu rakyat sudah stabil selepas menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Dataran Niaga Siantan, Selayang Mutiara di sini semalam.

Pada 20 Mac lalu, EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata Kerajaan Negeri akan mencari mekanisme baharu bagi mengganti JER yang akan berakhir Aidilfitri ini.

Menurut Ir Izham Hashim, perlu ada kaedah jangka panjang yang lebih mampan selain memberi subsidi untuk membantu rakyat misalnya bagaimana menurunkan harga ayam.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga Mei.


Pengarang :