Kerajaan Selangor juga menyalurkan bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun kepada keluarga kurang berkemampuan yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Foto ARKIB SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 300 keluarga di DUN Bandar Utama terima bantuan RM3,600 setahun

Oleh Shamz Johan

SHAH ALAM, 28 APRIL: Lebih 300 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama telah menerima manfaat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Pegawai Penyelaras DUN Hanis Mohamad berkata setakat ini, masih ada baki 202 kuota belum diisi daripada keseluruhan 502 kuota yang diperuntuk.

“Kita dapati kebanyakan permohonan yang ditolak adalah disebabkan pemohon bukan berdaftar di DUN Bandar Utama,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata antara kriteria pemohon untuk mendapat bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun mestilah pengundi berdaftar di DUN berkenaan dan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM3,000.

“Syarat lain adalah pemohon mestilah lahir atau telah menetap di Selangor melebihi 10 tahun dan keluarga yang mempunyai anak berusia 18 tahun ke bawah.

“Pejabat DUN akan buat pelarasan bersama ketua kampung serta ahli majlis untuk semakan. Kita menyasarkan untuk memenuhkan kuota tersebut pada Jun ini,” katanya.

Inisiatif Bingkas menggantikan (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) merupakan skim terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Setiap keluarga yang layak akan menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun dan bayaran diagihkan menerusi aplikasi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :