Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantuan kewangan RM3,600 setahun bantu keluarga B40 tampung hidup

SHAH ALAM, 27 JULAI: Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) bagi membantu rakyat yang kini berdepan cabaran inflasi serta peningkatan kos sara hidup.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keluarga berpendapatan rendah yang layak akan menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

“Penjanaan pendapatan dan kebajikan sosial tertumpu kepada pendapatan isi rumah, kemiskinan dan pengangguran merentasi semua kumpulan demografi di negeri ini.

“Mengurangkan kesemua kadar kemiskinan adalah kunci aspirasi dalam tempoh 5 tahun akan datang,” katanya ketika membentang Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri (DNS) hari ini.

Amirudin menjelaskan Bingkas antara pemacu perubahan utama dalam strategi kedua RS-1 iaitu mempertingkat kesejahteraan rakyat sekaligus menangani peningkatan inflasi.

“Selangor juga mencatatkan Indeks Harga Pengguna (CPI) yang kedua tertinggi di Malaysia pada tahun 2020 serta mencatatkan kadar inflasi yang ketiga tertinggi pada tahun 2019,” katanya.

Seramai 30,000 keluarga bakal menikmati Bingkas menerusi peruntukan RM108 juta. Program berkenaan menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).

Bingkas sebahagian daripada 44 program bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) demi meningkatkan taraf sosial serta kesejahteraan masyarakat membabitkan kosa lebih RM600 juta.

 


Pengarang :