Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Jannah, Klang pada 2 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

DUN Meru anjur jualan murah ayam, ikan, daging di lima lokasi mulai esok

KLANG, 2 MEI : Lima lagi program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru dianjurkan mulai esok hingga 11 Mei.

Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Norlena Nayan berkata jualan murah barangan asas diadakan di Surau Haji Alias pada esok, Taman Saga (6 Mei), Jalan Tempinis 14 (7 Mei), Taman Kapar Permai (8 Mei) dan Surau Haji Nasron (11 Mei).

Pegawai khas ADN Meru, Norlena Nayan bercakap kepada Media Selangor ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Jannah, Klang pada 2 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita mengalu-alukan penduduk Meru ambil peluang hadir ke jualan ini bagi mendapatkan barangan asas pada harga berpatutan. Kita faham bulan Syawal ini sudah pasti banyak belanja yang dikeluarkan.

“Ini masanya untuk mereka kembali berjimat iaitu membeli-belah di JER yang sedikit sebanyak boleh membantu meringankan beban perbelanjaan ketika musim perayaan,” katanya ditemui di JER DUN Meru di Masjid Nurul Jannah, hari ini.

Terdahulu, lebih 300 pengunjung hadir ke program jualan murah malah ramai yang beratur seawal 8 pagi meskipun program bermula10 pagi.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Jannah, Klang pada 2 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :