Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat bertempat di Kampung Chempaka, Bandar Utama pada 2 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sudah 15 kali datang ke jualan murah, suri rumah harap program diteruskan

Oleh Shamz Johan

PETALING JAYA, 3 MEI: Orang ramai menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri yang menyambung semula program jualan murah pada minggu ketiga Syawal.

Suri rumah, Siti Naqia Abdul Razak, 35, berkata penganjuran Jelajah Ehsan Rakyat (JER) membuktikan komitmen Kerajaan Negeri yang memahami keperluan rakyat terutama mereka yang menyambut Aidilfitri.

Siti Naqia Abdul Razak. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Saya dan keluarga telah mengeluarkan banyak belanja untuk persiapan Aidilfitri. Apabila jualan murah ayam, ikan dianjurkan, sedikit sebanyak meringankan beban membeli keperluan dapur.

“Di program JER,, dengan bajet RM30 saja sudah cukup untuk membeli stok barangan dapur untuk hampir seminggu. Saya harap program ini diteruskan sepanjang tahun,” katanya yang sudah lebih 15 kali ke program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu.

Bagi Loke Sik Ken, 53, pula dia berpuas hati dengan inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan program untuk membantu rakyat berpendapatan rendah.

“Saya rasa ia (program) bagus dan berharap diteruskan. Dengan tawaran harga murah pelbagai jenis barangan, penduduk dapat jimat lebih daripada separuh perbelanjaan dapur.

“Jika tanya saya atau sesiapa sahaja, sudah tentu kami semua mahukan program ini berjalan sepanjang masa.

Loke Sik Ken. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Siapa yang tidak mahu jika berbelanja hanya berpuluh ringgit sahaja sudah dapat beli ikan, daging, telur,” katanya ketika ditemui pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama semalam.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat bertempat di Kampung Chempaka, Bandar Utama pada 2 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

Pengarang :