Oleh DIANA ABD WAHAB
KLANG, 6 MEI: Seramai 2,500 individu berjaya mendapat penempatan pekerjaan di bawah inisiatif Kerajaan Negeri, kata Exco Pemberdayaan Kerja.
V Ganabatirau berkata ia hasil kejayaan menerusi karnival kerjaya yang dikendalikan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) dari November 2021 hingga kini.
“Kita jelajah sembilan daerah anjurkan program (karnival kerjaya) ini.
“Pada penganjuran karnival hari ini kita dimaklumkan 30 pengunjung diterima bekerja ketika sesi temu duga secara terus bersama majikan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P_KarnivalkerjayaMyfuturejobSKSSR-12-500x333.jpg.webp)
Beliau ditemui pada sidang media Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Negeri Selangor di Dewan Hamzah, di sini hari ini.
Menteri Sumber Manusia V Sivakumar melancarkan karnival itu yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sementara itu Ganabatirau berkata 155 individu dipanggil menghadiri temu duga kali kedua oleh majikan setakat ini dalam karnival itu.