Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama pasangan pengantin Mohammad Farhan Mohd Nor dan Nurul Fatienul Ain Mazlan ketika menghadiri majlis kenduri kahwin pasangan itu di Kampung Pelet pada 6 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kehadiran PM, isteri kejutan buat pengantin kematian ibu semalam

BUKIT MERTAJAM, 6 MEI: Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke rumah kenduri kahwin di Kampung Pelet, di sini mengubati duka pengantin lelaki yang kematian ibunya semalam.

Anwar dan isteri tiba di rumah pengantin pada 4.20 petang sebelum bertemu pasangan pengantin Mohd Farhan Mohd Mohd Noor, 29, dan Nurul Fateinul Ain Mazlan, 26.

Seterusnya Perdana Menteri dan isteri menjamu selera sebelum beramah mesra dengan tetamu serta turut sempat meluangkan masa bergambar dengan pengantin serta ahli keluarga untuk kenang-kenangan.

Anwar dan Wan Azizah meluangkan masa di majlis kenduri kahwin itu kira-kira 20 minit dan tetamu turut mengambil peluang bergambar dengan Perdana Menteri serta isteri.

Mohd Farhan berkata dia tidak menjangka kehadiran Perdana Menteri dan isteri ke majlis perkahwinannya hari ini malah turut terkejut apabila dimaklumkan mengenai kehadiran pemimpin nombor satu negara itu.

Mohd Farhan yang bekerja sendiri berkata dia dimaklumkan kehadiran Anwar dan Wan Azizah ke majlisnya hari ini adalah atas jemputan daripada arwah ibunya Sabariah Darus, 54, yang merupakan kenalan lama Perdana Menteri.

Katanya dia percaya jika ibunya masih ada, pasti arwah yang paling gembira dengan kehadiran Anwar dan isteri ke majlis perkahwinannya hari ini kerana memang itu hajatnya yang mahu perdana menteri hadir di kenduri itu.

“Benda memang tidak dijangka langsung (kehadiran perdana menteri) kerana mak saya baru sahaja meninggal 6.40 pagi semalam kerana kegagalan buah pinggang…saya dan keluarga masih dalam keadaan sedih sebenarnya kerana kematian mak.

“Tapi dengan kehadiran Perdana Menteri tadi, saya dan semua gembira..ini sekurang-kurangnya dapat mengubat duka dengan kematian mak…perasan sekarang ini bercampuk aduk, lagipun saya tak jangka yang perdana menteri datang untuk raikan kami,” katanya.

Beliau yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dan isteri kerana hadir ke majlis perkahwinannya.

Majlis akad nikah Mohd Farhan dan Nurul Fateinul Ain berlangsung pada 29 April lalu di Kota Bahru, Kelantan dan ketika itu Sabariah turut tidak dapat menghadirinya kerana dimasukkan ke hospital disebabkan mengalami masalah buah pinggang.

– BERNAMA


Pengarang :