Petugas PKPS membuat persiapan untuk jualan Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Seksyen 24 Shah Alam.pada 21 Januari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

DUN Morib, Pelabuhan Klang, Bukit Melawati antara lokasi jualan murah esok

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 10 MEI: Program jualan murah barangan asas seperti ayam, ikan dan beras anjuran Kerajaan Negeri diteruskan ke sembilan lokasi esok, bermula 10 pagi.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) berlangsung di Jalan Budi 2, Taman Budiman (DUN Morib), Masjid Ar-Raudah Kampung Sungai Kembong (DUN Pelabuhan Klang) dan Kampung Bukit Cherakah (DUN Ijok).

Program turut diadakan di balai raya Tanjung Keramat (DUN Bukit Melawati),  Surau Haji Nasron (DUN Meru), kabin KRT BBS2B (DUN Taman Templer), laman Masjid Al Amiriah, Kampung Blok J Sawah Sempadan (DUN Permatang), balai raya Parit 10 Ban Canal, Pasir Panjang (DUN Sungai Panjang) dan AU1A, parkir Surau Al Ittifaq (DUN Hulu Kelang).

JER kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :