EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (duduk, tiga kanan) bergambar bersama peserta pada majlis penutup Kem Muhibbah Kita Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang pada 14 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Program pendidikan awal, usaha perkasa anak istimewa tarik minat negara luar

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 15  MEI: Beberapa negara di Amerika Selatan, Eropah dan Amerika Syarikat menunjukkan minat dengan pelan pendidikan awal kanak-kanak yang dibangunkan di negeri ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata ia susulan pembentangannya yang berkongsi pencapaian dan polisi Kerajaan Negeri mewujudkan komuniti mesra kanak-kanak di Selangor forum antarabangsa di Panama baru-baru ini.

“Usaha dua PBT Selangor iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)  dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak berjaya menarik perhatian negara yang sertai forum terbabit.

“Antaranya usaha MBSJ bangunkan program inklusif aktiviti luar untuk kanak-kanak termasuk yang berkeperluan khas seperti autisme dan sindrom down.

“Program ini diadakan untuk bantu kanak-kanak ini jalani gaya hidup normal,” katanya kepada Selangorkini selepas merasmikan majlis penutup Kem Muhibbah 2023 di Universiti Islam Selangor, Hulu Langat, semalam.

Sze Han berkata MBPJ pula menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai bandar pembelajaran pada 2019.

Ia atas usaha PBT itu menyediakan pengangkutan percuma untuk kanak-kanak memerlukan ke 25 sekolah.  MBPJ juga akan menerima anugerah bandar mesra kanak-kanak daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Jun ini.

“Malah MBPJ mewujudkan Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya (PJCC) dan melantik ahli majlis kanak-kanak yang turut dilibatkan dalam proses buat keputusan untuk membangunkan bandar Petaling Jaya.

“Negara-negara terbabit berminat dan mungkin akan adakan lawatan ke Selangor selepas saya perkenalkan program yang telah kita laksanakan di Selangor,” katanya.

Kerajaan Negeri menawarkan lapan bantuan pendidikan dari prasekolah hingga universiti menerusi inisiatif Iltizam Selangor Penyayang.

Selain itu, Selangor turut mengutamakan pendidikan kanak-kanak istimewa menerusi penubuhan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) Seksyen 7 dan Pusat Sokongan Pendidikan Awal ANiS.

Malah, inisiatif kebajikan anak istimewa turut diperluaskan kepada manfaat rawatan di hospital pakar.

 


Pengarang :