Oleh Shamz Johan
SHAH ALAM, 21 MEI: Sejumlah RM526,536 diperuntuk untuk menaik taraf padang bola sepak di Seksyen 18 di sini.
Ahli Dewan Negeri Batu Tiga berkata inisiatif itu bukan saja melibatkan pembaikan padang bola sepak tetapi juga pembinaan kemudahan lain.
“Keseluruhan permukaan padang seluas 12,000 meter kaki persegi telah dibaik pulih termasuk menambah sistem subsoil paip padang bola.
“Laluan pejalan kaki sepanjang 464 meter, wakaf turut dibina dan juga tambahan bangku taman, tiang gol serta bendera padang,” kata Rodziah Ismail.
Beliau ditemui pada majlis perasmian padang bola sepak di Jalan Rumbia 2, Seksyen 18, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan Timbalan Setiausaha Pembangunan MBSA, Yunus Suri.
Projek naik taraf padang bola sepak itu selesai Oktober lalu melalui peruntukan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor berjumlah RM200,000 dan bakinya daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Rodziah berkata kerja pembaikan lain termasuk membaiki tiang penghadang bola dan mengecat garisan padang.
“Alhamdulillah, saya berharap ia dimanfaatkan penduduk dengan pelbagai aktiviti seperti senamrobik, pertandingan sukan dan sebagainya,” katanya.