Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar menyampaikan syarahan bertajuk Ihya’ dan penawar krisis dunia moden ketika Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kitab Imam al-Ghazali terkandung rahsia bahagia, rujukan sepanjang zaman

SHAH ALAM, 22 MEI: Kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali merupakan penawar terbaik krisis kerohanian yang dihadapi masyarakat dunia.

Penyandang Kursi al-Ghazali dalam bidang pemikiran Islam di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata tidak ramai yang tahu inti pati naskhah tersebut mengandungi rahsia kebahagiaan.

“Manusia moden zaman sekarang dahagakan kebahagiaan tetapi tamadunnya miskin dengan kaedah untuk menikmatinya.

“Kitab ini merupakan sebaik-baik panduan kepada semua kerana ia memenuhi keperluan insan melangkaui zaman,” kata Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan syarahan Ihya’ dan Penawar Krisis Dunia Moden di Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Turut hadir Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah, selain beberapa tokoh ilmuwan Islam Nusantara.

Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar bersalaman dengan orang ramai selepas menyampaikan syarahan bertajuk Ihya’ dan penawar krisis dunia moden ketika Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dr Osman menyifatkan kitab Ihya’ Ulumuddin yang mengandungi 40 jilid itu sebagai karya agung yang melengkapi keseluruhan dimensi dan etika tamadun Islam.

Jelasnya, beliau yakin individu yang melazimi kitab tersebut dapat menghidupkan kembali tamadun Islam yang sejati.

“Ia merupakan sebaik-baik panduan untuk tajdid hadari di mana-mana zaman. Dengan itu Ihya’ Ulumuddin dapat dinobatkan sebagai karya tajdid umat sepanjang zaman,” katanya.

Dr Osman tersenarai antara 500 individu Islam paling berpengaruh di dunia sejak 2009 dan beliau telah mengarang lebih 40 buku mengenai tamadun dan falsafah Islam.

Isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Madiana Muhamad turut serta Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selain Dr Osman, seminar itu turut menampilkan syarahan tokoh ulama Indonesia Prof Dr Kiai Haji Said Aqil Siradj, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty serta tokoh ulama Patani, Thailand Baba Haji Ghazali Ahmad Fathoni.

Festival Turath Islami Selangor diadakan 20 hingga 25 Mei bersempena projek terjemahan 10 jilid kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali oleh Kerajaan Selangor.

Majlis dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia.

Orang ramai membeli buku keluaran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ketika Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :