Petugas PKPS membuat persiapan untuk jualan Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Seksyen 24 Shah Alam pada 21 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Permatang, Dengkil, Sijangkang antara sembilan tempat jualan murah esok

SHAH ALAM, 24 MEI: Program jualan murah barangan asas anjuran Kerajaan Negeri, Jelajah Ehsan Rakyat (JER) diteruskan ke sembilan lokasi esok, bermula 10 pagi.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan bertempat di dewan opera Pasir Penambang di bawah DUN Permatang, Masjid Ar-Rahman (DUN Pelabuhan Klang) balai raya Kampung Serigala, Sungai Selisek (DUN Hulu Bernam) dan balai raya Batu 10 Kebun Bharu (DUN Sijangkang).

Program bertujuan meringankan beban rakyat itu juga diadakan di dewan komuniti Putra Perdana (DUN Dengkil), balai raya Parit 13 Sungai Nibong (DUN Sungai Panjang), balai raya Kampung Kuantan (DUN Bukit Melawati), dewan serbaguna Seksyen 7 Kota Damansara (DUN Kota Damansara) dan Puteri Centre Park Tasik Puteri (DUN Kuang).

JER kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari tahun ini.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :