SHAH ALAM, 28 MEI: Selangor serius dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui pelbagai inisiatif termasuk menjayakan kegiatan penterjemahan buku pelbagai genre, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu adalah penting kerana bahasa menunjukkan jiwa kita kepada negara.
“Sebab itu di Selangor selain menyuburkan perpustakaan dengan bangunan, buku dan sebagainya, kita terbitkan terjemahan.
“Ini supaya korpus bahasa Melayu itu kuat dengan sari kata dan juga besar dengan perkataan ilmu supaya tidak tenggelam dengan paparan luaran.
“Kita lihat anak-anak sekarang suka berfesyen dengan pakaian (tradisional) termasuk tengkolok, tetapi apabila bercakap ‘hi guys’. Jadi ia tidak kena dengan langgam bahasa. Kalau kita kekalkan bahasa ini dengan cara betul insya-Allah kita akan berbangga dengan bahasa kita,” katanya.
Beliau berucap pada Malam Bahasa Jiwa Bangsa yang dianjurkan sempena festival bahasa dan sastera peringkat negeri Selangor di Pustaka Raja Tun Uda di sini, malam tadi.
Amirudin turut mendeklamasikan sajak berjudul ‘Dalam Kesopanan Kita’ karya Sasterawan Negara (SN) Datuk Rahman Shaari.
Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) adalah syarikat penerbitan yang menerima geran Kerajaan Negeri untuk menjayakan kegiatan penterjemahan buku pelbagai genre antaranya agama, sejarah dan falsafah menerusi projek Siri Pencerahan Selangor.
Pada Julai 2019 Kerajaan Negeri turut menetapkan semua papan tanda jalan di Selangor menggunakan Bahasa Melayu sahaja.