Petugas PKPS menyusun barangan keperluan ketika Jelajah Ehsan Rakyat DUN Seri Setia di Tapak Pasar pagi Lembah Subang pada 29 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah dinanti ramai, belanja RM50 dapat beli pelbagai barang dapur

SUBANG JAYA, 29 MEI: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang menjual barangan asas murah berbanding harga pasaran perlu kerap diadakan terutama di penempatan penduduk berpendapatan rendah (B40).

Pekerja kerajaan Noriza Mansor, 47, berkata langkah berkenaan membantu golongan sepertinya berbelanja sekali gus mengurangkan beban sara hidup.

Pengunjung Noriza Mansor. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Macam hari ini di Lembah Subang 1, kebanyakan penduduk bekerja biasa-biasa sahaja dan kami amat menantikan program ini. Saya sendiri pun sentiasa tunggu dan semak lokasi penganjuran seterusnya.

“Jadi hari ini walaupun bekerja saya minta pelepasan sekejap untuk membeli barangan keperluan. Peluang ini tak selalu. Banyak yang saya dapat jimat,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu pekerja pembersihan C Sarada, 59, berkata program itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberi barangan keperluan rumah seperti ayam, telur dan beras.

“Saya bawa RM50 untuk dapatkan barang-barang penting ini. Saya risau jika tak sempat kerana barang dijual jauh murah dari pasaran.

Pengunjung C Sarada. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kalau di luar ayam seekor hampir RM20. Dekat sini hanya RM10. Sama dengan telur RM10. Dekat luar RM16,” katanya.

JER kendaian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Orang ramai yang hadir bagi membeli barangan keperluan ketika Jelajah Ehsan Rakyat DUN Seri Setia di Tapak Pasar pagi Lembah Subang pada 29 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :