Anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyita pelbagai barangan bengkel dalam operasi banteras aktiviti bengkel haram di SS13, Subang Jaya pada 29 Mei 2023. Foto MBSJ
PBTSELANGOR

MBSJ keluar notis roboh bengkel haram, sita enam kenderaan

Oleh Shamz Johan

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebuah bengkel kenderaan yang beroperasi secara haram di Subang Jaya menerima notis perobohan daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dalam operasi bersepadu Isnin lalu.

Bahagian Komunikasi Korporatnya memaklumkan premis yang turut dijadikan bengkel besi buruk telah menghalang laluan awam selain pemiliknya mengugut penduduk sekitar.

“MBSJ mengeluarkan empat notis perobohan serta-merta di bawah Seksyen 70 Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang melibatkan kesalahan mendirikan struktur atau halangan di tempat awam dengan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan.

Anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyita kenderaan pelbagai guna yang menghalang laluan awam dalam operasi banteras aktiviti bengkel haram di SS13, Subang Jaya pada 29 Mei 2023. Foto MBSJ

Tambahnya, enam kenderaan pelbagai guna (MPV) dan satu kepala lori termasuk pelbagai barangan bengkel seperti tong gas, jet hidraulik, pemotong besi dan perkakas bengkel termasuk besi buruk turut disita.

“Pemilik premis akan dikenakan tindakan perundangan oleh Pejabat Tanah Daerah Petaling di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran,” katanya.

Operasi di SS13, Subang Jaya itu dijayakan Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Bangunan, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Pejabat Tanah Daerah Petaling dan anggota dari Balai Polis Bandar Sunway.


Pengarang :