Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim merasmikan Jelajah Genta Belia 2023 di Medan Kajang pada 3 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jelajah perkasa ekonomi belia di 43 lokasi seluruh negara, sasar 15,000 peserta

KAJANG, 3 JUN : Jelajah Genta Belia 2023 anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal menjelajah ke 43 lokasi di seluruh negara dengan Hulu Langat menjadi daerah pertama hari ini.

Timbalan Menterinya Adam Adli Abd Halim berkata siri jelajah itu antara usaha KBS bagi mendedahkan golongan belia dengan pelbagai program pemerkasaan ekonomi yang dilaksana agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

“Dijangka 15,000 belia bakal mendapat manfaat daripada keseluruhan jelajah itu yang dijangka berakhir Oktober ini dengan Kuala Lumpur menjadi lokasi penutup.

“Program ini turut memberi tumpuan belia di kawasan luar bandar sekali gus mewujudkan keseimbangan pembangunan sosioekonomi golongan belia di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya berucap merasmikan Jelajah Genta Belia 2023 siri pertama di Medan Kajang di sini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim melawat rerurai di Jelajah Genta Belia 2023 di Medan Kajang pada 3 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Beliau berkata terdapat tiga pengisian utama bagi jelajah tersebut iaitu aktiviti perkongsian ilmu dan maklumat seperti peluang pekerjaan, keusahawanan serta ekonomi; jualan komuniti belia berkonsepkan segmen mini dan aktiviti sampingan berbentuk permainan interaktif serta hiburan.

“Kerajaan sentiasa faham bahawa golongan belia perlu diberi pendedahan berhubung inisiatif terkait peluang ekonomi secara lebih kerap supaya mereka dapat meneroka kepelbagaian sektor dan kaedah terkini untuk meningkatkan keupayaan diri,” katanya.

Siri jelajah dilaksanakan KBS bersama rakan strategik iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Jabatan Pertanian, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan badan bukan kerajaan lain.

Jadual lokasi dan tarikh siri Jelajah Genta Belia 2023 boleh didapati menerusi laman sesawang www.jbsn.gov.my dan media sosial jbsnegara.

Sekitar Jelajah Genta Belia 2023 di Medan Kajang pada 3 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :