KUALA LUMPUR, 3 JUN: Kewujudan ‘wartawan netizen’ merupakan cabaran kepada pengamal media pada masa kini dalam menyampaikan bahan berita yang sahih.
Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata pengamal media perlu berpegang kepada etika kewartawanan supaya berita disampaikan benar walaupun lambat.
“Sudah pasti di era digital berlaku pertembungan dan saingan kerana semua ada kamera, telefon bimbit dan internet. Mereka boleh muat naik apa sahaja. Ini cabaran kepada pengamal media apabila berdepan persaingan siapa paling cepat.

“Namun, pengamal media ada etika kewartawanan yang harus dipegang sama seperti doktor yang mempunyai etika kedoktoran.
“Contohnya pada pilihan raya, wartawan dapat maklumat mengatakan ahli politik ini mendahului dan dijangka menang, tetapi kita tidak tahu sumber sebenar. Sebagai pengamal media, kita bukan kejar viral tetapi sahih atau tidak,” katanya.
Beliau berkara pada program bual bicara Media dan Komunikasi: Kepentingan dalam Pembinaan Malaysia Madani di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 hari ini.
Pesta buku yang memasuki tahun ke-40 penganjurannya bermula Jumaat lalu sehingga 4 Jun dan dibuka pada jam 10 pagi hingga 10 malam.
Mengulas lanjut, Mohamed Fareed berkata pengamal media juga berperanan memastikan proses semak dan imbang berjalan dengan baik.
“Mungkin keutamaan netizen menceritakan atau memberitahu apa berlaku tetapi pengamal media perlu ada semak dan imbang serta melaporkan apa yang sahih sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi TV Al-Hijrah Mohd Khair Ngadiron berkata pihaknya memilih kesederhanaan dan menghormati kepelbagaian dalam menyampaikan berita bagi menutup ruang-ruang yang menimbulkan kekeliruan.
“Sebagai media nasional, kita selalu berada dalam persimpangan yang mana sejauh mana boleh terbuka. Dalam hal tertentu, kita perlu mementingkan siapa yang menonton dan dengar apa yang mahu disampaikan.
“Jadi kita memilih sederhana dan hormat kepelbagaian dan ini penting sebab bukan hanya menangi soal persepsi. Kalau politik tidak mengapa ini agama sebabkan hukum,” katanya.