Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 9 JUN: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Selangor yang layak menyambung pengajian di Mesir dan Jordan dipelawa memohon dermasiswa.
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi Facebook memaklumkan permohonan tajaan pendidikan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu dibuka mulai 1 hingga 25 Jun.
Menurut agensi itu, permohonan dan syarat kelayakan boleh disemak menerusi epengajiantinggi.jais.gov.my
“Pemohon (dermasiswa) mestilah pelajar yang sudah membuat membuat permohonan ke Mesir dan Jordan melalui Kementerian Pengajian Tinggi menerusi dohe.mohe.gov.my/timurtengah,” menurut Jais.
Sebarang pertanyaan lanjut, pemohon boleh menghubungi Unit Pengajian Tinggi dan Sepanjang Hayat Bahagian Pendidikan Islam Jais di talian 03-5514 3400 atau menerusi WhatsApp 010-343 7054.
Sebelum ini LZS mengumumkan memperuntukkan RM32.6 juta kepada 67,798 pelajar prasekolah hingga menengah dalam kalangan keluarga asnaf fakir dan miskin serta mualaf meliputi bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan.
Bantuan diagihkan melibatkan 899 murid prasekolah, 37,679 (sekolah rendah kebangsaan/sekolah rendah agama) dan 36,894 (sekolah menengah kebangsaan/sekolah menengah agama).