Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB
SHAH ALAM, 9 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menutup enam jalan bagi melancarkan penganjuran program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan 2023 pada Ahad ini.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Mohd Azhar Mohd Sharif berkata penutupan membabitkan 6 jalan sekitar Dataran Kemerdekaan bermula jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi.
“Program ini akan bermula di Dataran Kemerdekaan bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan warga kota Shah Alam.
“Justeru MBSA akan menutup sementara sebahagian jalan semasa acara berlangsung. Jalan yang terlibat adalah Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai.
“Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menggunakan laluan alternatif untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh penutupan jalan,” katanya.