EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau bercakap kepada media selepas majlis simbolik penyerahan peruntukan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) anjuran Jawatankuasa Kebajikan di Dewan Annex, Shah Alam pada 10 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pusat jagaan lega terima dana kebajikan, tampung kos urus OKU, warga emas

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

SHAH ALAM, 10 JUN: Pengurusan Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC) menarik nafas lega selepas menerima peruntukan kebajikan daripada Kerajaan Negeri.

Ahli Jawatankuasa dan Jurulatihnya berkata dana itu membantu menambah baik pusat latihan khusus untuk orang kelainan upaya (OKU) atau mereka yang alami kecacatan selepas kemalangan untuk berdikari dan menguruskan diri.

Ahli Jawatankuasa dan Jurulatih Pengurusan Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC) C Sasitharan

“Dengan peruntukan ini kami dapat menambah peralatan yang diperlukan sebagai penyediaan latihan, kemahiran serta pembangunan kendiri 25 peserta di pusat ini.

“Ini amat penting sebagai persediaan mereka kembali ke alam pekerjaan,” kata C Sasitharan pada majlis penyerahan peruntukan program kebajikan Kerajaan Negeri 2023 di Bangunan Annexe di sini hari ini.

Persatuan itu menerima sumbangan wang tunai hampir RM50,000 yang disampaikan EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau.

Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah Mohiadin Bahado

Sementara itu, Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah memuji keprihatinan Kerajaan Negeri yang memberi manfaat kepada 29 warga emas pusat jagaannya di Beranang.

“Syukur bantuan ini dapat menampung kos membaik pulih kerosakan pusat jagaan, menambah baik sistem pengudaraan pusat yang menempatkan warga emas dan OKU sebatang kara tanpa waris di bawah jagaan kami.

“Diharapkan agar bantuan seperti ini dapat diteruskan lagi bagi NGO seperti kami yang perlu berusaha mendapatkan dana sendiri,” kata Mohiadin Bahado.

Terdahulu, EXCO kebajikan masyarakat menyampaikan simbolik penyerahan peruntukan program kebajikan berjumlah lebih RM1.5 juta kepada 70 pusat kebajikan, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO)

V Ganabatirau berkata peruntukan disalur menerusi program Dana Sukarelawan Kebajikan, Program Sinergi Prihatin, Program Pusat Kebajikan Lestari dan Program Santuni Pusat Kebajikan.


Pengarang :