Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan kerja menurap di Jalan Persiaran Elmina 1/1, Kuala Selangor pada 11 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Infrasel baik pulih jalan di Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Selangor, Banting

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM, 13 JUN:  Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) meneruskan kerja membaik pulih beberapa jalan di Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Selangor dan Banting.

Syarikat penyelenggara jalan negeri itu memaklumkan kerja penurapan jalan adalah sebahagian daripada Projek Turapan Mega yang giat dilaksanakan pentadbiran negeri.

Menurut agensi itu di Twitter,  kerja membaik pulih dilaksanakan di Persiaran Jubli Perak di Shah Alam, Jalan Penchala, Jalan SS 26/2 dan Jalan 17/27 (Petaling), Jalan Persiaran Elmina 1/1 (Kuala Selangor) dan Jalan Bunga (pekan Banting)

“Kami menghargai keprihatinan tuan dan puan menghubungi pihak kami. Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan pihak Tuan untuk memanjangkan aduan kerosakan jalan tersebut terus ke pihak berkuasa tempatan untuk tindakan segera,” katanya.

Petugas Infrasel melaksana kerja baik pulih jalan di Persiaran 1/1, Saujana Utama, Kuala Selangor pada 8 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel

Pada 7 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem aduan kerosakan jalan raya di negeri ini akan diperluas ke Facebook untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Cadangan itu tambahan kepada penggunaan Twitter dan aplikasi penyelenggara jalan raya negeri yang dikendalikan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).

Pada 13 Mei, Amirudin turut mengumumkan Selangor menerima peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk membaiki jalan kampung seluruh negeri.

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksanakan Infrasel bagi memastikan keselesaan pengguna.

Semua jalan berlubang itu dibaiki dalam tempoh 24 jam berdasarkan aduan orang ramai.

Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan kerja menurap di di Jalan Penchala, Petaling Jaya pada 9 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel

Pengarang :