Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 13 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKNS pada landasan tepat, mampu kekal penyumbang utama ekonomi negeri

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dijangka akan terus mencatatkan keuntungan operasi yang ketara tahun ini, sekali gus menjadi pemangkin ekonomi negeri.

Berdepan situasi mencabar akibat Covid-19, namun Dato’ Menteri Besar berkata perbadanan itu kembali pada landasan betul apabila mencatat keuntungan lebih RM200 juta tahun lalu.

“Pemulihan yang kita lakukan berjaya. Jadi tahun ini, kita anggar PKNS mampu mencatat keuntungan signifikan dan kedudukan tunai sihat untuk melancarkan projek perumahan dan perbandaran baharu.

“Kerajaan Negeri mempunyai perancangan 15 tahun ke hadapan untuk PKNS kekal menjadi penyumbang dan pemangkin ekonomi kepada Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau bercakap demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Malam Jasamu Dikenang PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Amiruddin mengumumkan PKNS akan mengetuai projek pembinaan pelabuhan ketiga di Pulau Carey bagi menampung kapasiti kontena di pelabuhan barat dan utara, selain menjana ekonomi.

PKNS mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM905.8 juta setakat 31 Disember 2021, hasil peningkatan pendapatan operasi menerusi jualan bangunan dan tanah.

 


Pengarang :